Contact Us

Name

Email *

Message *

Senjata seorang mukmin adalah doa

Senjata seorang mukmin adalah doa



***Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh*** ^_^

<><>Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.<><>

-Wahai Sahabat yang dirahmati Allah,
Doa adalah senjata orang mukmin. Berdoalah kamu setiap masa dan ketika untuk memohon ampun kepada Allah SWT. Semua perkara didunia ini telah ditetapkan oleh Allah SWT di Loh Mahfuz. Salah satu daripada Rukun Iman adalah percaya kepada Qadak dan Qadar.

-Hanya ada satu cara sahaja yang boleh mengubah Qadak dan Qadar iaitu berdoa kepada Allah SWT. Allah SWT. menciptakan segala makhuk didunia ini, Dia yang menetapkan jodoh pertemuan, rezeki dan ajal maut seseorang. Dia yang menetapkan dan hanya Dia yang boleh mengubahkannya. Manusia hanya diminta untuk berusaha, berdoa , bermunajat dan bertawakal.

-Didalam al-Quran Allah SWT. ada menceritakan kisah pertemuan dua orang soleh iatu Nabi Musa a.s. dan Nabi Alkhidhir a.s. Allah SWT. mengutus Nabi Alkhidhir a.s. kepada Nabi Musa a.s. adalah kerana Allah SWT. hendak membuktikan ilmu Allah SWT yang luas dan hendak mendidik Nabi Musa a.s. supaya tidak sombong dan bangga diri (ujub) .Walaupun Allah SWT telah memberikannya mukjizat, ilmu yang luas dan kemuliaan yang besar. Rupanya ada lagi hamba Allah yang lebih soleh dan berpengetahuan luas (mengetahui perkara ghaib yang akan datang) selain daripada dirinya sendiri.

-Nabi Musa a.s. sanggup bermusafir bersama2 Nabi Alkhidhir a.s. dengan syarat Nabi Musa a.s. jangan tanya apabila ada perkara-perkara luar biasa yang akan dilakukan oleh Nabi Alkhidhir a.s. Ternyata Nabi Musa a.s. tidak mampu melihat tindakan luar biasa yang dilakukan oleh Nabi Alkhidhir a.s. ,dan sebanyak tiga kali Nabi Musa a.s. menegur Nabi Alkhidhir a.s.

-Akhirnya Nabi Alkhidhir a.s. berkata kepada Nabi Musa a.s.“..Dengan melubangi yang aku lakukan dalam bahtera itu, si raja yang zalim itu akan berfikir dua kali sebelum merampas bahtera yang dianggapnya rosak dan berlubang itu. Maka perbuatanku yang pada lahirnya adalah merosakkan milik orang, namun tujuannya ialah menyelamatkannya dari tindakan perampas sewenang-wenangnya.”

-Nabi Alkhidhir a.s. berkata lagi. “Adapun tentang anak yang aku bunuh itu, maka tujuanku ialah menyelamatkan kedua orang tuanya dari gangguan anak yang derhaka itu. Kedua orang tua anak itu adalah orang-orang Mukmin, soleh dan bertakwa, yang aku khuaitirkan boleh menjadi tersesat dan melakukan hal-hal yang buruk kerana dorongan anaknya yang derhaka itu. Aku harapkan dengan matinya anak itu Allah akan mengurniakan anak pengganti yang soleh dan berbakti kepada mereka berdua.”

-Nabi Alkhidhir a.s. meneruskan kata-katanya, “ Sedang mengenai dinding rumah yang kuperbaiki dan kutegakkan kembali itu adalah kerana di bawahnya terpendam harta peninggalan milik dua orang anak yatim piatu. Ayah mereka adalah orang soleh ahli ibadah dan Allah menghendaki bahawa warisan yang ditinggalkan untuk kedua anaknya itu sampai ketangan mereka selamat dan utuh bila mereka sudah mencapai dewasanya, sebagai rahmat dari Tuhan serta ganjaran bagi ayah mereka yang soleh dan bertakwa itu.”

-Wahai Sahabat yang dimuliakan,
Pengajaran yang boleh kita ambil disini bahawa Allah SWT ingin merubah Qadak dan Qadar-Nya yang telah ditetapkan sejak azali lagi melalui tangan hamba-Nya yang soleh Nabi Alkhidhir .a.s. sebagai pengajaran kepada Nabi Musa a.s. Allah SWT boleh melakukan apa sahaja atas kehendak-Nya untuk menunjukkan kekuasaan-Nya.

-Allah SWT. memberi wahyu kepada Nabi Alkhidhir a.s. bahawa bahtera itu akan dirampas oleh raja yang zalim, anak itu akan jadi anak yang derhaka dan tembuk itu akan runtuh dan harta anak yatim piatu akan terkeluar dan akan diambil oleh orang lain. Jika dibiarkan maka ketiga-tiga kejadian itu akan berlaku tetapi Allah minta Nabi Alkhidhir a.s. merubahnya keadaan tersebut supaya menjadi lebih baik untuk hamba-hamba-Nya yang soleh, beriman dan bertakwa.

-Setiap perjalanan hidup makhluk ciptaan Allah SWT. telah tercatat di Loh Mahfuz, termasuk diri kita telah tercatat disana. Bagi Allah SWT amat mudah untuk Dia mengubahnya. Sebagai hamba Allah yang lemah dan dhaif kita perlulah berdoa untuk kebahagiaan kita hidup di dunia dan di akhirat dan terselamat dari siksa api neraka.

-Wahai Sahabat yang dihormati,
Pertama sekali kita hendaklah meminta doa supaya Allah SWT. tetapkan hati didalam hidayah :

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai Rabb kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.” (Surah Ali-Imran ayat 8).

"Ya Allah, Rabb yang menunjukkan hati, tunjukkanlah hati-hati kami kepada jalan ketaatan pada-Mu.” (Hadis Riwayat Muslim).

"Ya Allah, Rabb yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati-hati kami kepada agama-Mu.” (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim).

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud , : "Al-Mizan itu berada ditangan Allah. Dia akan meninggikan sebahagian golongan dan merendahkan yang lain sehingga kehari Qiyamat. Hati manusia berada diantara dua jari Allah Al-Rahman. Jika dikehendaki Dia akan menjadikannya istiqamah dalam kebenaran dan jika dikehendakiNya akan disesatkanNya.”(Hadis Riwayat Ahmad, al-Nasa’ei, Ibnu Majah dan al-Hakim).

Disebabkan terlalu mudahnya hati itu berubah, kita digalakkan beramal dengan doa ini dan doa memohon ketetapan hati yang diamalkan oleh Nabi SAW.

Untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat kita perlu berdoa :
"Allahuma inni asalukal ‘afiata fiddun ya wal akhirah”
(Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kesejahteraan di dunia dan akhirat)
(Hadis Riwayat Tirmizi).

"Rabbana atinafiddunya khasanah wafil akhirati khasanah wakinaazabannar”(Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada azab api Neraka)(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Allah SWT akan perkenankan doa2 kita dengan syarat dua perkara yang mesti ditunaikan iaitu mengikut perentah Allah SWT. dan kedua hendaklah beriman kepada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Apabila hamba-Ku bertanya kepada engkau tentang hal-Ku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku perkenankan doa orang yang meminta, bila ia meminta kepada-Ku, tetapi hendaklah ia mengikut perintah-Ku, serta beriman kepada-Ku, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk.” (Surah Al-Baqarah ayat 186)

-Wahai Sahabat yang dikasihi,
Salah satu doa yang makbul adalah doa sahabat kepada sahabatnya yang lain.Walaupun sahabat itu berada di tempat yang jauh, walaupun tidak pernah bertemu wajah tetapi Allah pertemukan dari hati ke hati iaitu hati-hati yang takut pada azab Allah, hati-hati yang cinta pada Islam dan hati-hati yang cinta pada Allah dan Rasul.

Saya berdoa untuk sahabat2 semua :
"Ya Allah ya Rabbku, sesiapa sahaja diantara hamba-hamba-Mu yang membaca risalah didalam blog ini,aku mohon pada-Mu, Kau berilah sihat wal afiat kepada mereka , Kau berilah Taufik dan Hidayah-Mu, Kau berilah kefahaman yang mendalam tentang Islam, Kau berikanlah kekuatan pada mereka untuk mengamalkannya dan kemampuan pula untuk menyampaikannya pada orang lain.
Ya Allah Kau jadikanlah mereka sahabat2ku di dunia dan sahabat2ku di hari akhirat, kami mohon ketika itu kami semua berteduh dibawah naungan-Mu.
Ya Allah, Kau satukanlah hati2 kami dengan ikatan persaudaraan Islam, Kau pertemukanlah kami di dunia dan pertemukanlah kami di hari akhirat bersama hamba-hamba-Mu yang Kau redhai.
Jadikanlah hati2 kami bertemu dan berpisah semata2 untuk mencari keredhaan-Mu. Jadikanlah kami batu-bata untuk membina bangunan Islam, pilihlah kami untuk menjadi para dai’e-Mu untuk melaksanakan amal maaruf dan nahi mungkar.
Ya Allah berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada siksaan api neraka.
Ya Allah ampunkanlah dosa2 kami, yang telah kami lakukan dengan sengaja atau dengan tidak sengaja, yang kami ketahui dan yang tidak kami ketahui, sesungguhnya Engkau suka mengampuni, ampuni kami ya Allah. Amin yarabbul alamin”



Back To Top