Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad
SHAH ALAM Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad akhirnya bukan sahaja mengubah sejarah, malahan mengaku bahawa beliau adalah seorang diktator sepanjang perkhidmatannya selama 22 tahun.
Namun beliau segera menekankan bahawa tidak ada sesiapa pun menentangnya sebelum ini seperti yang mereka buat sekarang terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menurut laporan MediaCorp Singapura.
Dahulu, saya seorang diktator. Tetapi itu tidak mengapa. Tiada orang menentang saya, seperti apa yang kita lihat sekarang di bawah kepimpinan Najib, di mana beliau digesa meletakkan jawatan, dakwa Mahathir pada 27 Mac.
Beliau mendedahkan perkara itu kepada wartawan dalam satu konvensyen pembangkang di sini sekali gus cetus tanda tanya rasional gelaran diktator diberikan bekas timbalannya, Anwar Ibrahim setelah dipecat pada 1998.
Umum maklum, mantan ketua pembangkang yang kini dihukum penjara atas kesalahan liwat selalu menghentam Mahathir yang sejak itu bukan sahaja sebagai diktator, malah firaun, mahazalim dan apa sahaja gelaran amat hina.
Kebencian keluarga Anwar bahkan terbukti apabila isterinya, Wan Azizah Wan Ismail; kini Ketua Pembangkang di Parlimen, dan anaknya, Nurul Izzah tidak hadir tiga program pembangkang disertai oleh Mahathir baru-baru ini.
Bermula majlis pengumuman Deklarasi Rakyat di ibu negara pada 4 Mac, disusuli Konvensyen Rakyat di sini pada Ahad dan terbaharu himpunan di Pandan pada Isnin, Mahathir dilihat syok sendiri hanya kerana benci Najib.
Lebih memalukan Mahathir apabila Wan Azizah pada 7 Mac lalu mendedahkan negarawan itulah yang kini lebih memerlukan dan bukannya mereka memerlukan sangat aura Mahathir dalam kempen menggulingkan Najib.
Mahathir memimpin Malaysia dari 1981 hingga 2003, menjadikannya perdana menteri paling lama berkhidmat di negara ini selain menyaksikan tiga timbalannya pernah disingkirkan sama ada secara terhormat atau cukup aib.
Portal Free Malaysia Today melaporkan, menurut Mahathir, keputusan untuk melantik seorang perdana menteri baharu bukan bergantung kepada gerakan Selamatkan Malaysia anjuran beliau dengan pihak pembangkang.
Sebaliknya yang menjadi tumpuan adalah untuk menyingkirkan Najib daripada jawatan perdana menteri. Lazimnya parti yang raih jumlah kerusi paling banyak di Parlimen mempunyai kuasa melantik perdana menteri.
Mahathir menambah: Itu tidak bermakna naib presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan menyandang jawatan perdana menteri seterusnya, setelah Najib disingkirkan.
Sebelum ini, Mahathir berkata Najib adalah penghambat yang perlu dihapus jika Malaysia mahu perubahan perlembagaan, konon perdana menteri sekarang menggunakan kuasanya untuk menghambat sebarang siasatan.
Beliau menambah, ini termasuk siasatan kes 1Malaysia Development Berhad dan dana RM2.6 bilion yang disalurkan almarhum Raja Arab Saudi ke dalam akaun bank peribadi Najib. Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Komen
Sumber: mynewshub
–> Klik jika rasa post ini patut dibuang
Artikel ini hanyalah perkongsian dari pelbagai website dan blog. Sekiranya perkongsian artikel yang dilaporkan disalahertikan kami tidak akan bertanggungjawab. Terima Kasih