LAZIMNYA amat jarang benar kediaman Tengku Razaleigh Hamzah di Jalan Langgak Golf di ibu negara yang diberi jolokan White House menjadi tumpuan media dari seluruh dunia, namun keadaan berubah pada Selasa.
Ia gara-gara tohmahan jahat Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Sabtu lalu mendakwa konon bekas menteri Kabinet dan tokoh veteran UMNO dari Kelantan itu dalang menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Segala-galanya dipercayai susulan kemunculan tidak dijangka Ahli Parlimen Gua Musang itu bersama-sama semua pemimpin UMNO Kelantan di Parlimen pada Khamis menyerahkan Deklarasi Kelantan untuk menyokong Najib.
Walhal sebelum itu, semua portal dan blog propembangkang mendakwa Tengku Razaleigh ialah penyokong tegar Mahathir waima tidak muncul pada program Deklarasi Rakyat sekali pun namanya disebut pengacara majlis itu.
Mungkin sudah hilang sabar dengan cerita politik kedai kopi yang memberi persepsi negatif, beliau pada 29 Mac menegaskan tidak terbabit gerakan menjatuhkan Najib apatah lagi berhasrat menggantikan Perdana Menteri.
Tengku Razaleigh yang juga mesra disebut Ku Li turut menafikan dakwaan palsu Mahathir konon beliau sendiri yang mengetuai gerakan rahsia tersebut termasuk bagi mengemukakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Malah katanya, beliau juga tidak tahu-menahu langsung mengenai surat terbuka yang disebarkan menerusi media sosial tempatan kononnya ada usaha untuk menyokong dirinya menjadi perdana menteri ketujuh negara ini.
Saya terlalu tua (jadi Perdana Menteri) saya mahu beri laluan kepada generasi baharu, katanya dalam sidang media di kediamannya, pada Selasa yang penuh sesak dihadiri ramai wartawan termasuk propembangkang.
Ku Li seterusnya berkata, beliau juga tidak menyedari mengenai kewujudan akuan berkanun yang konon tidak ditandatangani pihak tertentu bagi menyokong langkah beliau untuk dilantik sebagai perdana menteri baharu.
Perkara pelik itu didedahkan Ahli Parlimen DAP Kluang Liew Chin Tong menerusi Facebooknya pada Isnin yang disifatkan banyak penganalisis politik sebagai cara alihkan perhatian daripada skandal banglo Lim Guan Eng.
Saya tidak menulisnya saya tidak tahu mengenainya, jelas Ku Li yang menafikan beliau menyokong gerakan deklarasi Mahathir-Lim Kit Siang, malah tegasnya, beliau sendiri tidak pernah bersetuju dengan deklarasi itu.
Ditanya tuduhan liar Mahathir konon beliau banyak kali belot dalam parti, Ku Li secara jenaka sinis berkata, ramai juga orang di luar sana pernah kata beliau sendiri banyak kali ditipu hidup-hidup oleh Mahathir tanpa disedari!
Menyentuh isu siapa diktator: Mahathir atau Najib, Ku Li seloroh berkata, beliau berpegang pada pengakuan jujur Mahathir sendiri mengatakan Mahathir ialah diktator: Masa zaman dulu itu, nak buat apa-apa pun tak boleh!
Tengku Razaleigh berkata, apa juga gerakan jalanan untuk menukar pemimpin secara paksa seharusnya mesti mengikut Perlembagaan Persekutuan iaitu ketika pilihan raya atau usul undi tidak percaya di Parlimen.
Justeru katanya tidak timbul isu beliau tiba-tiba konon berpaling tadah apabila menandatangani Deklarasi UMNO Kelantan bersama 13 lagi Ketua UMNO bahagian negeri itu menyokong kepemimpinan Najib pada minggu lalu.
Saya ahli UMNO yang setia, dan juga Ketua Bahagian serta boleh menandatangani apa saja dokumen, jangan salah faham kerana saya tidak berada bersama kumpulan lain selain daripada UMNO, tegas beliau lagi.
Mengulas isu sayap pelaburan strategik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ku Li berkata, beliau hanya berpegang kepada laporan akhir siasatan oleh panel Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Beliau meminta semua pihak jangan membuat sebaran andaian sebaliknya tunggu sehingga siasatan laporan itu yang dianggotai wakil pihak kerajaan dan pembangkang selesai dibentangkan. Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Baca: Ku Li Tandatangani Deklarasi Kelantan Sokong PM
Juga: Malu Deklarasi Kelantan, Tun M Dakwa Ku Li Dalang Guling PM
Komen
Sumber: mynewshub
–> Klik jika rasa post ini patut dibuang
Artikel ini hanyalah perkongsian dari pelbagai website dan blog. Sekiranya perkongsian artikel yang dilaporkan disalahertikan kami tidak akan bertanggungjawab. Terima Kasih